Tuesday, August 5, 2008

Assalamualaikum wth dan Salam Sejahtera,


Keusahawanan merupakan suatu kerjaya yang amat menarik dan memberi peluang yang cukup luas untuk memajukan diri dan masa depan. Adakah anda berminat atau mempunyai ciri-ciri seorang usahawan? Ruangan kali ini saya akan memberi peluang kepada anda menilai diri anda sendiri....................



Adakah Anda Seorang Usahawan?

Walaupun keusahawanan bukan untuk semua insan, tetapi anda mungkin memilih bidang keusahawanan sebagai satu kerjaya, memulakan sebuah perniagaan dan seterusnya menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Willian E. Jennings, (“A Profile of the Entrepreneur”) telah menjalankan kajian mengenai sikap yang berkaitan dengan usahawan yang menyenaraikan sifat-sifat penting yang dimiliki oleh usahawan iaitu:

  • Sabar
  • Sanggup menghadapi cabaran
  • Sedia bersaing
  • Berdikari
  • Kesungguhan untuk mencapai matlamat
  • Yakin pada diri sendiri
  • Sihat

Usahawan hari ini lebih menyeronokkan, khususnya untuk orang-orang yang inginkan persaingan dan pencapaian berbanding dengan wang dan kuasa. Usahawan memberi kepuasan apabila anda dapat bersaing dan dapat menewaskan pesaing-pesaing anda. Disinilah peranan anda sebagai perancang dan strategist; persaingan dalam perniagaan benar-benar menguji kemampuan minda dan kekuatan anda.

Adakah anda memiliki ciri-ciri seorang usahawan? Tanya diri anda dengan soalan-soalan seperti berikut:

  • Adakah anda sanggup bekerja keras dan berkorban (sacrifice) untuk mempastikan perniagaan yang anda bangunkan berjaya?. Bekerja tanpa mengira masa dan sanggup mengutamakan perniagaan anda dari diri dan keluarga.
  • Adakah anda sanggup bertanggungjawab ke atas sebarang keputusan dan tanggungjawab berkaitan dengan urusan perniagaan? sanggup menerima risiko dan akibat dari keputusan yang telah dibuat.
  • Adakah anda berfikiran terbuka, berdisiplin dan komited terhadap keusahawanan?
  • Adakah anda bersedia menjadi pekerja pelbagai peranan (multi-roles) iaitu anda adalah pekerja dan anda juga adalah ketua dalam organisasi anda?

Bagaimana Memulakan Keusahawanan

Pertama anda harus mempunyai idea atau bidang yang akan anda ceburi. Kumpulkan sebanyak mungkin maklumat berhubung dengan idea anda itu. Jalankan penyelidikan berkaitan perkhidmatan, produk atau industri yang berkenaan, cara menghasilkan produk, persaingan dan halangan yang mungkin timbul. Dapatkan nasihat dari usahawan yang telah menceburi bidang tersebut. Baca jurnal, majalah, buku dan penerbitan berkaitan keusahawan dan bidang yang akan diceburi. Hadiri perjumpaan dengan persatuan atau pelanggan industri tersebut. Anda harus memiliki maklumat terkini dengan bidang yang dipilih ini.

Sediakan pelan perniagaan yang lengkap. Sediakan matlamat untuk perniagaan anda tersebut. Pelan perniagaan yang baik membolehkan anda memberi fokus dalam membangun kejayaan.

Mulakan jalinan hubungan atau “networking” sebaik sahaja anda memulakan perniagaan. Jadilah ahli dalam persatuan professional. Ingat, jalinan hubungan yang berkesan akan membentuk persahabatan yang akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

Pelajarilah cara mendapatkan pembiayaan – dari kawan, keluarga, pinjaman bank, atau dana-dana Kerajaan. Anda harus mengetahui jumlah yang anda ada, jumlah yang anda ingin pohon untuk menggerakkan perniagaan anda dan jumlah yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda.

Tenaga pekerja adalah aset penting untuk berjaya. Anda hanya perlu menggaji pekerja yang anda fikirkan perlu sahaja. Jika anda tiada mempunyai masa untuk menyedia kira-kira syarikat, gajilah seorang akauntan. Dapatkan seorang pembantu untuk membuat kerja-kerja pengkeranian. Dengan ini anda akan mempunyai lebih masa untuk menumpukan kepada mengembangkan perniagaan.

Memulakan perniagaan perlu keyakinan dan mengambil masa. Anda perlu pandai mengagihkan masa untuk kawan, keluarga dan bergembira. Anda harus pandai mengenal batas-batas dunia perniagaan dan dunia peribadi. Anda juga mesti tahu mengenal pasti kawan dan lawan dalam perniagaan. Anda juga mesti proaktif dan bertindak pantas.

Keusahawanan bukan untuk orang-orang yang mudah kecewa. Tiada formula khusus atau azimat untuk terus berjaya. Kejayaan dalam keusahawan biasanya bermula dari bawah dan tahap demi tahap. Keusahawan juga bukan skim cepat kaya yang memberi jaminan pulangan kewangan yang berganda. Tetapi keusahawan menuntut pengorbanan dan kerja keras. Kepada yang sanggup bekerja kuat dan sanggup mencuba, mimpi anda akan menjadi kenyataan.

Sekian, terima kasih dan jumpa lagi...

Thursday, April 10, 2008

Assalamualaikum wth dan Salam Sejahtera,

Selamat datang dan bertemu lagi dalam sudut usahawan.

sudut usahawan membincangkan panduan, bimbingan, senarai buku rujukan yang boleh dibeli serta peluang-peluang perniagaan untuk para usahawan.

Sekian, terima kasih dan berjumpa lagi.............

Salam hormat,

ILHAM Management Consultants Sdn Bhd